Sunday, 3 February 2013

Sejadah Bercorak Babi

SEREMBAN: “Niat anak saudara untuk mengerjakan solat terhenti sejurus mendapati corak pada sejadah itu seolah-olah muka dan kepala babi,” kata seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 50-an.

Menurutnya, sejadah merah berkenaan dibelinya di sebuah kedai dekat sini yang dijual secara lelong kira-kira enam bulan lalu.

“Saya dan beberapa ahli keluarga membeli-belah di kawasan berkenaan sebelum ternampak jualan lelong di kedai menjual permaidani dan sejadah itu.

“Sejurus memasuki kedai berkenaan, saya teruja apabila mendapati ada sejadah yang dijual dengan harga amat murah iaitu hanya RM10 untuk tiga helai.

“Saya membelinya tanpa melihat lebih teliti setiap sejadah yang diambil,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, minggu lalu anak saudara perempuannya berusia 20-an bertandang ke rumah dan mahu menunaikan solat Asar.


“Saya menyerahkan sejadah itu kepadanya dan terkejut apabila dimaklumkan corak yang tertera menyerupai muka dan kepala babi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan setiap jualan murah yang kebiasaannya terdiri daripada barangan lama dan kurang berkualiti.

“Malah, lebih buruk apabila terjadi kes begini yang menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya. Beliau berkata, isu sensitif seumpama itu sesuatu yang ‘panas’ dan ia perlu dielakkan sebaik mungkin demi kepentingan bersama.

“Ini kerana ia membabitkan kesucian dan maruah masyarakat Islam sama ada corak berkenaan sengaja dilakukan atau sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu Khairuddin, menggesa pihak terbabit menjalankan pemantauan di setiap kedai bagi mengelak perkara sama berulang.

No comments:

Post a Comment