Friday, 31 May 2013

Alyah Rela Lepaskan Anak-Anak



Tujuh tahun lalu, layar hidup penyanyi Alyah berubah sama sekali apabila hadirnya seorang putera comel bernama Muhamamad Alif dalam lembaran hidupnya. Tanpa kehadiran suami di sisi, Alyah tiba-tiba menjadi ibu kepada anak comel itu sekaligus mendatangkan tanggapan serong masyarakat.

Biarpun dihimpit kata-kata sinis, namun pelantun lagu ‘Kisah Hati’ ini hanya memekakkan telinga kerana bagi Alyah, niatnya hanya satu, iaitu ingin menolong sebuah keluarga yang hidup dalam kesusahan. Daripada hidup anak kecil itu terbiar, Alyah mengakui sedia membantu memelihara anak yang lahir pada tanggal 30 April 2006 itu.

“Keluarga Alif datang dari latar belakang orang yang susah. Adik-beradik Alif yang lain pun mereka bagi kepada orang luar kerana tidak mampu jaga atas faktor kesempitan hidup. Bagi Alyah, semua ini terjadi dalam keadaan yang tidak diduga dan terjangka. Ia datang secara tiba-tiba dan Alyah tidak boleh nak elak. Alyah tak rancang pun semua ini tapi Alyah terima dengan rasa tanggungjawab. Alyah anggap perkara ini memang dah tercipta untuk Alyah,” ujar Alyah membuka bicara.

Atas sifat keibuan yang menebal, pemilik nama Noor Hasliah Abu Hassan ini terbuka hati untuk menerima seorang lagi permata hati di mana kali ini seorang puteri comel bernama Naziyatul Afiqah yang lahir pada 28 Disember 2008. Afiqah merupakan anak kepada adik kandungnya namun kerana adik lelakinya itu tidak bersedia mengharungi alam rumah tangga pada usia muda sehingga melalui proses penceraian, Alyah akhirnya menawarkan diri untuk menjaga puteri comel itu. 

“Secara jujur, sungguh Alyah tak nak perkara ini berlaku. Alyah takut tak terjaga dan mengabaikan mereka. Namun, ketentuan membawa Alyah untuk menjaga mereka dan Alyah anggap ini sebagai satu pengorbanan dan tanggungjawab untuk Alyah,” jelas Alyah lagi.


“Pertama kali mereka panggil Alyah dengan panggilan Mama, kegembiraan itu sukar untuk digambarkan. Alyah rasa lain sangat. Sekarang, apabila tengok mereka dah besar, Alyah rasa bangga sangat. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan dalam memegang status sebagai ibu segera, Alyah juga tidak terlepas dari dihimpit cabaran dan dugaan.

Anak lelaki Alyah, Alif menghidap penyakit keturunan iaitu sawan. Alif sering diserang sawan sehingga badannya menggigil dan mata hitamnya naik ke atas. Dia tidak seperti kanak-kanak lain. Kami perlu menjaga serta memantaunya selama 24 jam dan Alif juga kerap kali berulang alik ke hospital. Hanya Allah saja yang tahu betapa sukarnya proses itu. Namun, Alhamdulillah, kami boleh menjaga dia dan gembira kerana dapat melalui kesusahan ini bersama-sama,” ujar Alyah.

Dalam niat suci wanita berusia 32 tahun ini memelihara dua anaknya itu, Alyah juga turut menerima kata-kata nakal daripada segelintir pihak yang mendakwa dia seorang ibu yang tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan kedua-dua anaknya itu. Isu ini timbul kerana Alyah dikatakan telah menyerahkan sepenuhnya tugasan membesarkan anak-anaknya itu kepada ibu serta kakaknya di Johor Bahru.

“Orang boleh cakap macam-macam dan semua ini di luar bidang kuasa Alyah. Proses Alyah lain, Alyah bukan pergi untuk ambil mereka, tetapi Alyah menawarkan diri untuk tolong menjaga mereka. Jika ada yang rasa Alyah mengabaikan anak-anak, biarlah. Apa yang penting, keluarga Alyah lebih memahami semua ini. 

Tanggungjawab Alyah adalah untuk memperuntukkan wang kepada mereka manakala dari segi penjagaan pula diserahkan kepada kakak dan ibu Alyah. Apapun, Alyah bersyukur dan berterima kasih kepada mereka kerana memahami Alyah serta tolong menjaga kedua-dua anak Alyah ini,” ujar Alyah sambil memberitahu sudah bersedia andai keluarga kandung anak-anaknya itu datang untuk membawa pulang mereka satu hari nanti.

“Alyah tidak ada masalah untuk melepaskan mereka andai keluarga kandung mereka ingin mengambil anak mereka semula. Dari awal lagi Alyah sudah anggap Alyah hanya tolong menjaga dan membesarkan mereka sahaja. Jika mereka nak ambil, Alyah akan bagi kerana mereka tetap ibu dan ayah kandung anak-anak Alyah. Sayang memang sayang, kerana Alyah dah berkorban banyak kasih sayang, masa dan wang ringgit, tetapi apabila difikir balik, Alyah hanya tolong jaga mereka, jadi jika perkara ini berlaku, Alyah redha,” ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment