“Saya takut. Ada yang ajak bertumbuk…caci maki macam-macam dan paling sedih apabila ada yang tuduh ibu bapa saya tak pandai jaga anak,” kata Luqman Al Hakim Ahmad, 15, yang kini tertekan berikutan butiran peribadi dan gambarnya didedahkan sebagai suspek utama ‘geng samseng YouTube’ yang mendapat perhatian ramai di laman video sosial terbabit, sejak Selasa lalu.
p/s : Uish, tak boleh la terus sebarkan gambar suspek kalau belum terbukti..
Dia kini bimbangkan keselamatannya berikutan menerima pelbagai ancaman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan ke telefon bimbitnya sejak Rabu lalu.
Katanya, dia menerima ratusan panggilan dan puluhan SMS sejak rakaman video itu didedahkan hingga ada pihak mendedahkan identiti dan menyiarkan gambarnya dalam blog.
“Semuanya berpunca daripada salah identiti apabila ada pihak menerima maklumat salah dan mengambil gambar saya di facebook (fb) sebelum mendakwa saya suspek utama kes buli terbabit.
“Saya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan apabila ada yang mendakwa mengetahui alamat rumah dan akan datang mencari saya.” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, penonton YouTube di negara ini gempar dengan paparan video kejadian tiga pelajar membelasah seorang pelajar lain, di sini.
Video berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja berpakaian sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain, dipercayai rakan sekolahnya di sebuah kelas dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 4 Mac lalu.
Kejadian itu mendapat kecaman orang ramai di laman sosial termasuk di Facebook hingga satu blog memaparkan maklumat tiga individu yang didakwa tiga pelajar pembuli terbabit dikenali sebagai ‘Pembuli SMK Tun Hussein Onn’.
Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin sebelum ini mengesahkan ketiga-tiga pelajar terbabit dibuang sekolah sejak 8 Mac lalu.
Ketiga-tiga pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Menurut Luqman, dia hanya mengetahui dinamakan sebagai suspek dalam kejadian itu apabila diberitahu sepupunya selepas pulang dari sekolah, Rabu lalu.
Katanya, dia terkejut apabila ada blog bukan hanya menyiarkan gambarnya sebagai suspek, tetapi turut menyertakan butiran tweeter, Instagram, FB dan juga blognya.
“Saya tak tahu bagaimana mereka mengetahui semua butiran terbabit.
“Saya terkejut kerana saya tidak terbabit langsung dalam kejadian itu,” kata anak bongsu kepada lima beradik itu.
Menurutnya, dia tidak dapat mengesyaki sesiapa yang menyiarkan gambar dan butiran alamat laman sosialnya.
Katanya, atas nasihat guru dan keluarga, dia membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya bagi mengelak terus menjadi mangsa tohmahan.
Dia berharap penahanan ketiga-tiga pelajar itu dapat membersihkan namanya dan tidak mahu ada lagi pihak mengaitkannya dalam kejadian itu.
No comments:
Post a Comment