Sunday 30 June 2013

Bhgn 2: Trikuel yang Hebat & yang Tidak


Kami telah bawakan anda enam trikuel yang baik dan buruk sebelum ini, dan kali ini kami akan menyenaraikan beberapa buah filem ketiga lagi yang berjaya menaikkan semula atau meruntuh filem francais di Hollywood.


"Pirates of the Caribbean: At World's End"(2007)



Ketika filem yang diilhamkan dari permainan di Disneyland ini mula ditayangkan pada tahun 2003, ia mendapat sambutan yang hangat. Sudah lama Hollywood tidak mempunyai filem lanun dan Johnny Depp berjaya menarik perhatian dengan watak si lanun aneh Kapten Jack Sparrow. Ditambah pula dengan pelakon-pelakon yang sedang meningkat naik ketika itu – Keira Knightley dan Orlando Bloom, "Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl" merupakan sebuah filem yang diterima secara komersial dan juga oleh para pengkritik.

Namun filem keduanya, sekalipun lebih berjaya dalam kutipan pecah panggungnya, "Dead Man’s Chest" ditamatkan dengan pengakhiran tergantung, agak aneh untuk sebuah sekuel yang diangkat menjadi filem 'standalone' dengan sekuelnya tersendiri.

Jadi pada tahun 2007, sekuel kepada "Dead Man’s Chest" yang juga merupakan filem ketiga POTC ditayangkan kepada umum. Malangnya, sekalipun dengan kemunculan semula watak Kapten Barbossa lakonan Geoffrey Rush dan juga barisan pelakon hebat seperti Chow Yun Fat dan Keith Richards, plot "At World’s End" agak mengelirukan, terlalu panjang, dan penonton juga mula bosan dengan perangai tak teramal Jack Sparrow yang makin lama makin mudah diramal. Mujur efek yang cemerlang dan teknik pengarahan Gore Verbinsky masih berjaya menjadikan filem ini mampu ditonton.

Tak perlu cerita tentang filem keempatnya, "On Stranger Tides" kerana tiada siapa faham mengapa perlu adanya filem keempat apabila yang ketiga sudah sempurna menyimpulkan francais tersebut dan Verbinski tidak lagi mahu meneruskannya.

Baik atau Buruk: Memang layak menjadi filem ketiga.


"The Dark Knight Rises" (2012)


Pengarah British Christopher Nolan yang terkenal dengan teknik penceritaan kompleks dan eksplorasi psikologi watak-watak filemnya menakjubkan semua apabila berjaya menaikkan kembali francais Batman melalui "Batman Begins", yang sebelum ini telah dimusnahkan oleh Joel Schumacher dengan filem "Batman and Robin" arahannya. Dalam "Batman Begins", Nolan memperkenalkan watak Bruce Wayne/Batman dengan caranya tersendiri, dan menghidupkan lagi kisah latar wira gelap ini, selain memperkenalkan watak-watak antagonis yang lebih popular di komik berbanding komersial seperti Scarecrow dan Ra’s al-Ghul.

Dia kemudiannya mengecap kejayaan yang jitu apabila filem sekuelnya, "The Dark Knight" memecah tradisi dengan menjadikan The Joker lebih mengerikan dan Two-Face lebih difahami, selain babak-babak aksi yang begitu menakjubkan sehinggakan sekuel tersebut dianggap sebagai filem Batman terbaik yang pernah dibuat.

Namun dengan kematian Heath Ledger yang sepatutnya muncul kembali sebagai The Joker dalam filem terakhir, filem ketiga trilogi Batman Nolan ini terpaksa dirombak semula, dan pelakon "Inception", Tom Hardy dipilih untuk menjadi seteru Batman seterusnya, Bane – yang punya kekuatan fizikal Ra’s al-Ghul dan sifat tak teramal The Joker. Mungkin bagi para peminat "The Dark Knight", Bane tidak sehebat The Joker dan Two-Face, malah Selena Kyle lakonan Anne Hathaway dan Talia lakonan Marion Cotillard tidak cukup hebat untuk mengukuhkan filem tersebut, tapi dari sudut penceritaan dan plot, "The Dark Knight Rises" berjaya mengakhiri trilogi ini dengan cara yang sepatutnya – sebagai sebuah francais peribadi seorang Bruce Wayne dan bukan sekadar filem adiwira seorang Batman.

Baik atau Buruk:Tidak sehebat “The Dark Knight” tapi berada di tahap yang sama dengan “Batman Begins”.


"Toy Story 3" (2010)


Apa yang membezakan francais "Toy Story" dengan filem-filem animasi Pixar yang lain? Berbanding "Cars 2" dan "Monsters University" yang dibuat hanya untuk memenuhi keperluan sekuel, ada ketulusan yang dirasakan dalam filem animasi cereka pertama Pixar ini. Selain daripada menjadi filem animasi pertama Pixar yang ditonton di seluruh dunia, kisah Woody, Buzz dan permainan milik seorang budak bernama Andy ini dirasakan lebih dekat di hati kerana setiap orang juga pernah menjadi seorang budak dan pernah memiliki sekurang-kurangnya satu atau dua buah permainan sama seperti yang dimiliki oleh Andy.

Jadi "Toy Story" berjaya mendapat sambutan hangat. Namun begitu, sekuelnya "Toy Story 2" dirasakan kurang hebat berbanding yang pertama sekalipun mutu animasinya lebih baik, mungkin disebabkan orang ramai sudah pun mengenali setiap watak yang ada dan ia hanyalah seperti sebuah kisah tambahan.

Tapi "Toy Story 3" pula muncul, dan dipersembahkan dengan plot yang lebih kukuh, di mana semua permainan tersebut semakin tua dan sedar bahawa tuan mereka Andy yang kini berusia 18 tahun pasti akan meninggalkan mereka suatu hari nanti. Ditambah pula dengan plot yang bermula di sebuah taska-tadika, dan apa keputusan Andy yang seterusnya, penamat bagi kisah barang permainan hidup ini dilakukan dengan baik, dan mengakulah, bahawa anda juga mengalirkan air mata di penghujung kisah ini!

Baik atau Buruk: Yang terbaik antara tiga.


"Spider-Man 3" (2007)


"Spider-Man" yang pertama arahan Sam Raimi mendapat sambutan yang hangat, rata-rata mengakui bahawa filem pertama dari trilogi tersebut merupakan sebuah filem pengenalan yang cukup menghiburkan. Semua orang masih teruja dengan plot bagaimana Peter Parker berubah menjadi Spider-Man, bagaimana Green Goblin menjadi antagonisnya dan apa permulaan cinta Peter dan Mary Jane.

"Spider-Man 2" pula membawa kisah adiwira ini ke peringkat seterusnya, di mana dia bukan lagi si adiwira yang baru berjinak-jinak dengan konsep tanggungjawab dan kuasa. Ia berjaya mengimbangi drama yang dihadapi karakternya dengan aksinya menentang Dock Ock (lakonan Alfred Molina) yang dipenuhi kesan khas tipikal Sam Raimi.

Namun entah apa silapnya, filem ketiganya cuba memasukkan terlalu banyak plot dan karakter dan memadatkannya dalam durasi tayangan dua jam. Berbanding hanya satu antagonis, Spider-Man berdepan dengan bukan dua tapi tiga watak jahat - Sandman (Thomas Haden Church), Venom (Topher Grace) dan Harry Osborn (James Franco). Dialognya juga tidak menarik seperti filem pertama dan kedua, dan banyak lawak yang tidak 'sampai' kepada penonton. Malah disebabkan kritikan yang begitu banyak diterima oleh filem ketiga ini, Sam Raimi dan barisan pelakonnya menarik diri dari projek keempat, dan membolehkan Marc Webb muncul dengan "The Amazing Spider-Man" pada tahun 2012.

Baik atau Buruk: Buruk sehingga berjaya membuat Sam Raimi dan Tobey Maguire berhenti.


Men In Black 3


Filem "Man in Black" menerima pujian dari pengkritik dan penonton kali pertama ia ditayangkan pada tahun 1997. Will Smith masih baru dalam bidang perfileman dan gandingannya dengan si wajah serius Tommy Lee Jones sebagai dua ejen rahsia yang mengawasi aktiviti ekstra-terrestrial dianggap bijak, inventif dan punya skrip dan pengolahan yang cemerlang.

Mungkin kerana itu, pada tahun 2002, mereka cuba menghasilkan "Men in Black II". Malangnya, filem sekuel tersebut dikutuk kerana masih berada di tahap sama, tidak lucu dan terlalu berharap pada gabungan Smith dan Jones.

Francais tersebut mengambil masa sedekad untuk dikembalikan ke layar perak, dan hasilnya, "Men in Black III" adalah sebuah filem yang lebih kreatif, berbeza dari dulu dengan subjek 'time-travel' dan mampu menjadi sebuah filem 'standalone'. Namun pendapat penonton dan pengkritik berpecah dua. Ada yang berpendapat filem ketiga ini tidak mencapai tahap yang sepatutnya kerana kemunculan Jones yang terlalu sedikit, sementara yang lain merasakan bahawa ia lebih baik kerana cuba lari dari plot yang sama dengan membawa Ejen J (Will Smith) masuk ke masa lalu, sekaligus memperkenalkan penonton dengan satu suasana baru agensi MIB.

Baik atau Buruk: Lebih baik dari sekuel, masih tidak mampu menandingi yang pertama.

No comments:

Post a Comment