Wednesday 5 June 2013

Sejarah Nama Jalan Chow Kit

Loke Chow Kit

Antara jalan yang popular di ibukota Kuala Lumpur ialah Jalan Chow Kit, selain terkenal dengan aktiviti perniagaan, jalan ini juga menjadi popular apabila ia nya dilagukan oleh Sudirman Haji Arshad. Namun siapakah Chow Kit yang diabadikan namanya di jalan ini?, apakah sumbangan beliau hinggakan mendapat pengiktirafan yang begitu besar.

Chow Kit atau nama sebenarnya Loke Chow Kit ialah seorang tokoh perniagaan yang terkenal di Kuala Lumpur sekitar abad ke-19. Loke Chow Kit dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1864 dan mendapat didikan di Penang Free School. Selepas menamatkan pelajaran, beliau menyertai sebuah firma yang terkemuka di Pulau Pinang pada ketika itu, Katz Brothers.

Tidak lama selepas itu, Chow Kit berhijrah pula ke sebuah firma yang lain, iaitu Huttenbarch and Co, di syarikat ini beliau telah mendapat kepercayaan tinggi dari majikannya hingga dilantik menjadi pengurus bagi cawangan Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, Loke Chow Kit kemudiannya menyertai syarikat yang menguruskan landasan keretapi sebagai Pengurus Trafik, syarikat ini adalah milik Loke Yew dan Chow Ah Yok, jawatan ini beliau pegang hinggalah konsesi pengurusan landasan ini tamat dan diambil alih semula oleh kerajaan negeri Selangor. Selepas dari itu, Chow Kit menyertai perniagaan yang diuruskan oleh Loke Yew, termasuk perlandangan di beberapa buah negeri termasuk Pahang dan Negeri Sembilan. 

Dengan pengalaman dan modal yang terkumpul, Loke Chow Kit kemudiannya membina perniagaannya sendiri dengan menubuhkan Chow Kit & Co, selain pada masa yang sama turut menjadi pengarah dan pemegang saham di beberapa buah syarikat perlombongan, antaranya Milling and Mining Co. Ltd., Federal Dispensary Co., Jeher Hydraulic Tin Mining Co. Ltd., Malay Cement Co. Ltd.,dan Serendah Hydraulic Tin Mining Co. Ltd.

Bangunan Chow Kit & Co

Loke Chow Kit juga merupakan figura utama dalam masyarakat cina, khususnya di Kuala Lumpur, beliau banyak terlibat didalam aktiviti sosial, juga aktiviti kebajikan anjuran pelbagai pertubuhan awam pada ketika itu. 

Atas sumbangan kemasyarkatan yang besar jugalah beliau mendapat pengiktirafan hingga dianugerahi dengan Jaksa Pendamai (J.P) pada tahun 1917, beliau adalah rakyat Malaysia pertama dari keturunan cina yang menerima pengiktirafan berkenaan (Sunday Mail : 30 Mei 2004). Selain daripada itu, pada tahun 1893, Chow Kit merupakan antara individu terawal yang mempunyai telefon di kediamannya, tokoh lain yang turut mempunyai talian peribadi di kediaman masing-masing ialah, Loke Yew, Hock San dan K.Thamboosamy.

Rumah Loke Chow Kit

Pada tahun 1903, Chow Kit telah membina sebuah rumah agam yang indah di Jalan Tangsi, oleh kerana ciri-ciri astetika yang terdapat pada bangunan tersebut, ianya telah dipelihara hingga kini. Rumah berkenaan pernah diambil alih dan dijadikan Hotel Empire, kini ia nya menjadi bangunan Institut Arkitek Malaysia (PAM). 

Loke Chow Kit meninggal dunia pada tahun 29 Ogos 1918 pada usia 54 tahun akibat radang paru-paru di kediaman tetapnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Mendiang disemadikan di negeri kelahirannya, Pulau Pinang, mendiang turut meninggalakan dua orang balu dan 13 orang anak.

No comments:

Post a Comment