Wednesday 5 June 2013

Taman Tema Angry Birds Di Johor Bahru !!!



Kompleks hiburan keluarga dijangka beroperasi 2014.

Iskandar Malaysia terus menarik minat pemaju taman tema global apabila Taman Aktiviti Angry Birds yang pertama di Asia Tenggara akan dibuka di wilayah pembangunan ekonomi itu.

Taman tema keluarga berkonsepkan dalam bangunan itu akan dibuka di Kompleks Pusat Bandar Johor Bahru (JBCC) yang dulunya dikenali sebagai Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Ia akan dimajukan Damansara Assets Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama pengasas permainan Angry Birds, Rovio Entertainment Ltd yang berpangkalan di Finland.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim, berkata taman aktiviti seluas 2,415 meter persegi yang dijangka beroperasi tahun depan itu, bakal menyediakan hiburan dalam bentuk baru kepada peminat watak Angry Birds.

“Watak Angry Birds pertama kali muncul di Finland tetapi kini dikenali di seluruh dunia oleh pelbagai peringkat usia dan ini amat sesuai untuk pembaharuan JBCC yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Pelesenan antara Damansara Assets dan Rovio Entertainment Ltd.

Pada majlis itu Damansara Assets diwakili Pengarah Eksekutifnya, Yusaini Sidek manakala Rovio Entertainment oleh Ketua Pegawai Operasinya, Harri Koponen.
Kamaruzzaman berkata, taman tema aktiviti itu bakal menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara yang meminati watak Angry Birds untuk datang ke Johor. 

No comments:

Post a Comment