“Tiada pengalaman sebenarnya apabila beraya tanpa ibu tersayang di samping keluarga, rasanya tidak lengkap suasana itu,” itu kata-kata ringkas yang telah diluahkan oleh pelakon dan pengarah, Khir Rahman ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Darul Kifayah anjuran Grand Brilliance Sdn Bhd.
Secara bersahaja dan penuh berhemah dia memberitahu kepada GUA bahawa kehilangan arwah ibunya begitu terasa bagi mereka sekeluarga, lebih-lebih lagi bapanya yang sebelum ini tidak pernah berenggang dengan arwah ibunya.
“Kehilangan ibu saya begitu terasa buat ayah kerana selama 44 tahun arwah dan dia sememangnya tidak boleh berjauhan dan kini dia terpaksa melalui kehidupan secara bersendirian tanpa ibu. Saya sebagai anak turut berasa sedih apabila melihat ayah sedih dan saya berharap dia tabah dan dapat bersabar lebih-lebih lagi menjelangnya perayaan Aidilfitri pada tahun ini,” ujarnya.
Khir juga memberitahu bahawa dia dan keluarganya tidak boleh melupakan juadah wajib pada setiap Aidilfitri iaitu Roti Jala yang dimasak oleh arwah ibunya.
“Keluarga saya memang tidak akan dapat lupakan hidangan wajib pada setiap Hari Raya iaitu Roti Jala yang dimasak oleh arwah ibu. Hidangan itu merupakan hidangan terbaik dan pasti ditunggu-tunggu oleh kami sekeluarga apabila menjelangnya raya,” ujarnya.
Khir juga berpesan kepada semua peminat dan masyarakat di luar sana agar mereka dapat menghormati dan menyayangi ibu mereka ketika hayat mereka masih ada dan tidak sesekali mengingkari apa yang ditegah kerana itu semua ada kebaikan tersembunyi yang kita sendiri tidak tahu.
“Ada dua benda yang tidak dapat saya cari selepas arwah sudah tiada. Pertama, ibu merupakan tempat rujukan, tidak kiralah sama ada apa yang diberitahu itu benar atau salah, kerana ibu tempat kita meluahkan segala-gala yang terpendam di dalam hati. Ketika saya ingin membuat sesebuah filem atau mencari ilham, ibulah tempat yang terbaik untuk dijadikan tempat rujukan dan nasihat. Kedua yang paling sebak ialah, saya tidak dapat lagi merasakan kehangatan pelukan ibu lagi kerana melalui pelukan dan sentuhan ibulah kita dapat rasa aura syurga mengalir ketika itu,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Kredit -gua.com.my
No comments:
Post a Comment