-Gambar hiasan-
KUALA LUMPUR - Tiga lelaki melarikan wang tunai sebanyak RM70,000 selepas memecah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam premis sebuah pasar raya utama di Taman Kinrara, Puchong dekat sini, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abdul Razak Elias berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, tiga lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 20-an juga merompak sejumlah barang kemas yang nilainya masih disiasat dari sebuah kedai emas dalam kawasan pasar raya itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah itu menebuk dinding konkrit untuk memasuki pasar raya tersebut.
"Mereka kemudian menggunakan gas dipercayai oxy-acetylene untuk memecah mesin ATM serta merompak kedai emas di pasar raya berkenaan.
"Siasatan mendapati ada kesan terbakar di sekitar mesin ATM dan pintu masuk kedai emas itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Abdul Razak berkata suspek juga mengambil recorder kamera litar tertutup (CCTV) sebelum melarikan diri melalui pintu depan. - Bernama
No comments:
Post a Comment