Wednesday 6 March 2013

Maut dipukul sekumpulan perompak


IPOH — Seorang lelaki maut akibat dipukul dengan besi dan seterika oleh sekumpulan perompak yang memecah masuk rumahya di Kampung Sungai Badak, Jejawi, Perak Tengah awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Suhaili Abdul Salim, 27, sedang tidur bersama isteri dan anak perempuan mereka apabila menyedari rumah mereka dimasuki empat lelaki warga asing.

"Mangsa yang juga tinggal bersama kedua ibu bapanya terdengar kumpulan penjenayah itu menendang pintu rumahnya.

"Mangsa keluar dari biliknya dan melihat empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dan pemotong besi,” kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa bertindak melawan kumpulan penjenayah terbabit, namun dia telah dipukul sebelum mulut dan mukanya diikat.

"Ibu dan bapanya turut diikat. Kumpulan penjenayah itu kemudian bertindak menggeledah rumah mangsa dan membawa lari sebuah kereta jenis Proton Waja, dua telefon bimbit dan barang kemas,” katanya.

Mohd. Shukri berkata, isteri mangsa yang kemudiannya memeriksa keadaan mangsa selepas kumpulan penjenayah itu melarikan diri mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Dia lantas menghubungi pihak ambulans yang mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, katanya.

Polis sedang menjejaki kumpulan penjenayah itu. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment