Wednesday, 24 July 2013

Galeri Penampilan George Alexander Louis


Duke dan Duchess Cambridge, Putera William dan Kate Middleton telah menunjukkan bayi lelaki mereka kepada dunia buat pertama kali sebelum meninggalkan Hospital St. Mary pada jam 7.14 petang (waktu tempatan), semalam.

Kate telah melahirkan Putera Cambridge yang seberat 3.9 kilogram pada petang Isnin lalu, jam 4.24 petang.

"Saya pasti akan ingatkan tentang kelewatannya apabila dia sudah besar," lawak William kepada para media yang menanti kehadiran mereka di luar hospital.

Bercerita tentang putera sulung mereka, William, 31, memberitahu anaknya berada dalam keadaan sihat dan mereka masih belum memilih nama yang sesuai.


"Dia mempunyai paru-paru yang baik, itu semestinya. Dia agak berat. Kami masih lagi memilih namanya, jadi kami harap untuk membuat keputusan secepat yang mungkin.

"Ini pertama kali kami bertemu, jadi kami ingin menghabiskan masa bersama," ujar William yang sentiasa tersenyum ketika bertemu media.



Kate yang memakai gaun paras lutut bintik polka seperti mendiang Puteri Diana ketika melahirkan William pada tahun 1982 turut menggambarkan perasaannya selepas melahirkan anaknya itu.

"Ia cukup beremosi. Ia adalah satu masa yang cukup istimewa. Saya rasa semua ibu bapa faham akan perasaan ini," ujarnya.

William yang sempat menyampuk bersyukur anaknya itu banyak mengikut raut wajah isterinya dan mempunyai lebih banyak rambut daripadanya.





















No comments:

Post a Comment