Carson City (Nevada): Seorang akrobat berpengalaman dan ibu kepada dua anak terbunuh selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter ketika mengadakan persembahan di Las Vegas semalam.
Sarah Guyard-Guillot, 31, terhempas ke kawasan lapang di tepi pentas selepas wayar keselamatannya dipercayai terlucut. Wanita berasal dari Perancis itu sedang dinaikkan sebagai persediaan melakukan babak terakhir di MGM Grand apabila kemalangan berlaku. Saksi, Dan Mosqueda berkata, dia terdengar jeritan dan bunyi mengerang sebelum seorang lagi anggota kumpulan berkenaan menangis di atas pentas. Mosqueda berkata, pada awalnya penonton menyangka aksi itu memang disengajakan sebagai sebahagian daripada persembahan akrobatik. “Namun, kami mendengar jeritan, kemudian suara mengerang kesakitan dan ada orang menangis di atas pentas,” katanya. Pertunjukan dihentikan serta-merta sejurus kemudian. Penganjur juga menawarkan untuk memulangkan harga tiket yang dibeli penonton sebelum meminta orang ramai beredar. Sarah dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
No comments:
Post a Comment