Saturday 20 July 2013

Norish Karman Tidak Mahu 'Tangkap Muat'?


Pelakon dan penyanyi Norish Karman memberitahu dia rela menunggu watak yang mencabar berbanding menerima watak 'tangkap muat'.

Menurut Norish atau nama sebenarnya Nor'ashikin Karman, pelbagai karakter atau watak pernah dibawanya sebelum ini, oleh itu dia mahu watak yang lebih mencabar dan tak kisah sekiranya tidak banyak tawaran diterima buat masa ini.

"Berada pada tahap ini, imaginasi saya semakin tinggi apabila menyentuh watak-watak bagaimanakah yang saya hendak lakonkan. Oleh sebab itulah, saya sukar menerima tawaran jika watak yang diberikan kepada saya pernah dibawa sebelum ini.

"Kalau ikutkan saya, saya mahu watak antagonis seperti pembantu rumah yang kejam, gangster ataupun watak yang memerlukan saya memberi sepenuh penjiwaan seperti wanita buta atau pelacur," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama Astro di Hotel Hilton Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Norish, 37, bakal melancarkan albumnya berjudul "Terus Melangkah" selepas hampir empat tahun menunggu album berkenaan siap.

Norish turut berkata, walaupun ramai yang mempertikai bakat nyanyiannya, namun dia sudah bersedia untuk menerima kritikan kerana baginya, apa yang penting adalah peminat berpuas hati.

"Saya tahu ramai yang tidak tahu saya boleh menyanyi dan hakikatnya saya pernah memenangi pertandingan nyanyian di luar negara tidak lama dulu. Terhasilnya album ini adalah bukti cinta saya terhadap dunia nyanyian masih kuat.

"Bagaimanapun, apa yang memberi semangat untuk saya siapkan album adalah permintaan peminat yang mahu mendengar lagu saya sendiri. Empat tahun proses pembikinan album dan saya sangat berpuas hati dengan hasilnya," akhirinya.

No comments:

Post a Comment