Friday 28 June 2013

Kumpulan Wala Dakap Gelaran Juara Lawak 7



Rezeki nampaknya memihak kepada kumpulan Wala apabila mereka diisytiharkan sebagai juara Raja Lawak 7 (RL7).

Bersaksikan penonton yang menghadiri Auditorium MBSA, Shah Alam, Wala yang dianggotai Walawd bin Parman atau Lolop, 28, serta Wan Mustapha bin Muntek atau Wan, 30, diumumkan sebagai juara oleh hos RL7, Johan dan Zizan yang menyaksikan mereka menewaskan kumpulan Sakan sekali gus memenangi hadiah berupa wang tunai RM100,000 beserta trofi.

Wala yang berasal dari Sabah sepertimana kumpulan lain telah membuat dua persembahan bertemakan Bebas dan Muzikal Komedi di mana mereka turut bergandingan dengan Rahim R2 sewaktu persembahan Bebas.

Kumpulan Sakan yang dianggotai Husni bin Hussain atau Konte, 33 serta Ku Ismafaizul bin Ku Ismail atau Pakku, 33 dan Mohd Saiful Nizam bin Mansor atau Jelut, 34, pula meraih gelaran naib juara dan membawa pulang RM50,000 beserta trofi. Sakan menerima bantuan dari Ajak Shiro sewaktu pusingan Bebas.

Wakil dari Singapura, kumpulan Bora yang dianggotai Muhammad bin Abdul Rahim Shah atau Mamat, 28, serta Muhammad Hanafiah bin Azman atau Yan, 26, dan Muhammad Isa bin Jaffar atau Isa, 30, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi.

Satu lagi finalis iaitu kumpulan Gamat yang dianggotai Mohd Hafiz bin Abdul Ghani atau Apis, 28 dan Nor Alham bin Ab Rahim, 29, berada di kedudukan keempat tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut menerima hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Saluran Premium Astro, Encik Nizam Sani.

Gelanggang Akhir Raja Lawak 7 telah bersiaran secara langsung di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Mustika HD (saluran 134).

Seperti biasa, jurit tetap pertandingan yang juga selaku pengkritik ialah Dato` AC Mizal, Saiful Apek dan Isma Alif.

No comments:

Post a Comment