Hadith ini antara yang sering bermain di mulut-mulut kebanyakan orang ramai tidak kira orang awam bahkan para agamawan dan guru-guru sekolah turut terlepas pandang akan hal ini. Para blogger, dan facebooker juga dengan begitu mudah menyebarkan hadith maudhu’ ini tanpa mengetahui akan kebenaran status kesahihannya.
اطْلُبُو الْعِلْمَ وَلَوْ بِالصَّينِ
Tuntulah ilmu walau ke negara China
Tujuan mereka mungkin baik iaitu ingin menggalakkan agar rajin belajar dan menuntut ilmu walaupun hingga jauh dari tanah air. Ada juga di antara mereka yang berhujah bahawa Rasulullah menggalakkan umatnya menuntut ilmu hingga ke negara China. Ini adalah satu hujjah yang tidak tepat dan benar.
Hadith ini dinilai maudhu’ kerana ‘illah (sebab-sebab yang mencacatkan) pada sanadnya. Di dalam sanad tersebut terdapat seorang rawi bernama Abu Atikah Tharif ibn Sulaiman. Mengikut penilaian para muhaddith, beliau tergolong dalam rawi yang tidak thiqah, lemah dan salah seorang pemalsu hadith atau pereka hadith palsu.
Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz (Syeikh Bin Baz):
“Seandainya ini adalah hadith sahih, maka ia tetap tidak akan menunjukkan kelebihan dan keutamaan negara China dan juga rakyatnya. Maksudnya ialah hadith ini sekiranya ia sahih, ia menunjukkan keutamaan mencari ilmu itu walaupun ianya terpaksa menempuh jarak dan perjalanan yang jauh dan panjang. Justeru itu maksud hadith ini bukanlah menggalakkan untuk ke negara China itu sendiri kerana ia amat jauh dari tanah Arab” (al-Tuhfat al-Karimah fi Bayan Ba’dhi Ahadith Maudhu’ah wa Saqimah)
No comments:
Post a Comment