Thursday 27 June 2013

Micheal Ang Teringat Memori Ketika Menyertai MSM2


Program realiti Masterchef Selebriti Malaysia Musim 2 (MSM2) telah pun menutup tirainya dengan kemenangan Syura yang diangkat sebagai juaranya pada malam Selasa lalu, selepas bertarung sengit dengan Celina Khor di dapur MSM2.

Kepada penonton yang mengikuti MSM2 sejak awal lagi, pastinya anda kini lebih mengenali siapakah itu Micheal Ang. Jika dahulu dia hanya sekadar pengarah atau orang kuat d ibelakang tabir sahaja. Tetapi kini Micheal juga semakin menjadi tumpuan sejak menyertai MSM2.

Malah, dia turut menjadi antara peserta favourite penonton MSM2 dek kerana keletahnya yang lucu dan bersahaja itu. Menurut Micheal, dia tidak kisah dikutuk atau dinilai orang kerana itu adalah dirinya yang sebenar dan bukan dibuat-buat untuk menarik perhatian.

"Perkara yang aku paling tak dapat lupakan adalah apabila kami semua dapat bersama-sama seperti keluarga d idalam MSM2. Aku tak pernah lagi rasa seronok seperti itu bila setiap selebriti yang ada di dalam MSM2 tidak kira bangsa kami rasa seperti famili.

"Benda itu aku belum pernah lalui lagi bila dalam satu kumpulan yang terdiri daripada semua kaum yang membentuk bangsa Malaysia. Percaya atau tidak kemesraan yang terjalin memang bukan lakonan seperti yang ramai dakwa. Aku dan peserta lain memang terasa seperti saudara sendiri.

"Perkara yang akan sering bermain di kepala aku adalah suasana bila kami sama-sama bekerja, menghabiskan cabaran atau di waktu-waktu cemas pun, aku tak rasa aku boleh dapat pengalaman yang sama daripada tempat lain,"ujar Micheal yang pada mulanya tidak begitu bersungguh-sungguh menjadi peserta MSM2.

Pengarah kontroversi ini mengaku bahawa dia hanya berkata pada dirinya untuk berada di dalam MSM2 untuk 2-3 minggu sebelum memohon atau melakukan apa-apa yang akan membuatkan dia tersingkir. Tetapi setelah berada di dalam MSM2, Micheal Ang tidak percaya dia berjaya ke tahap akhir sebelum disingkir.

Ditanyakan mengenai ramalan dan juga peserta yang menjadi pilihan Micheal Ang untuk bergelar juara Masterchef Selebriti Musim Kedua, pengarah kelahiran Melaka itu nyata tidak mampu memberi nama khusus. Dia hanya memilih atas dasar persahabatan d iantara dia dan peserta lain di dalam MSM2.

"Kalau sapa yang aku mahu dia menang sudah pasti yang rapat dengan aku dalam MSM iaitu Syura dan Che Ta. Tetapi Celina mempunyai gaya dan skil yang juga tak kurang hebatnya.

"Yang penting siapa yang menang pun, aku akan tetap ingat semua kenangan didalam Masterchef Selebriti Malaysia 2. Sebuah keluarga besar yang meriah dengan bangsa Malaysia yang dapat duduk bersama tanpa ada sebarang sempadan di antara kami.

"Kalau dulu aku cakap impian aku nak masak untuk Perdana Menteri dan mahu duduk berbicara tentang masalah negara sekarang, aku akan suruh dia tengok suasana yang ada di dalam MSM2 sebagai contoh paling baik sekali,"cerita Micheal bersungguh-sungguh mengenai pengalamannya menjadi peserta MSM2.

Selain daripada itu, Micheal menganggap MSM2 memberikan peluang kepada orang untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Setidak-tidaknya mereka tahu siapakah Micheal Ang yang sebenar.

Pengarah yang lantang bersuara itu terus menjadi popular setelah dia menggunakan laman sosial Keek untuk menyuarakan apa yang dia rasa patut disuarakan berkaitan isu-isu semasa serta hiburan.

No comments:

Post a Comment